Thursday, 11 April 2013

Kereta hadiah Bintang Paling Popular ditemui


Kuala Lumpur : Polis menemui semula kereta mewah, Nissan Fairlady 370Z Coupe, yang juga hadiah utama Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012) di Taman Skudai, Johor Bahru, selepas dilarikan dari sebuah pusat servis di Segambut, di sini, Sabtu lalu. 

Difahamkan, kereta itu yang sepatutnya diserahkan kepada Bintang Paling Popular ABPBH2012, Shahiezy Sam, ditemui ditinggalkan di tepi jalan berhampiran taman perumahan berkenaan, kira-kira jam 1 pagi. 
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika mengesahkan penemuan itu, berkata hasil siasatan tidak menolak kemungkinan kereta berkenaan, yang masih belum didaftarkan, sudah mempunyai pembeli dan sengaja ditinggalkan di lokasinya ditemui untuk diambil pembeli terbabit. 

Tunggu diambil pembeli 

“Polis mengesyaki kereta itu ditinggalkan untuk diambil pembelinya. Ketika ditemui, kereta terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa dan orang ramai,” katanya. 

Sabtu lalu, sebuah kereta Nissan Fairlady 370Z Coupe bernilai kira-kira RM350,000 dilaporkan hilang dari pusat servis Edaran Tan Chong Motors Berhad di Segambut, di sini, selepas dilarikan seorang lelaki tidak dikenali. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, kereta berkenaan dikatakan dalam proses perincian terakhir untuk diserahkan kepada penganjur ABPBH2012 sebagai hadiah utama Bintang Paling Popular. 
Mohmad ketika mengulas lanjut, berkata polis sedang mengesan suspek utama, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit, selain modus operandi digunakannya dalam beberapa kejadian curi kereta sebelum ini. 

“Ketika kejadian, suspek dilihat memasuki pusat servis terbabit membawa bersama fail kuning dan mengambil gambar kereta itu sebelum berpura-pura mahu memandu uji kenderaan terbabit. 

“Melihat ada kunci ditinggalkan dan tiada sesiapa mengawasinya, suspek bertindak menghidupkan enjin kereta dan terus memecut keluar dari premis itu. Kita percaya kereta itu sudah dijual kepada orang tengah pada harga RM30,000 sebelum dibawa ke Johor Bahru,” katanya.

No comments:

Post a Comment